Kota Kinabalu: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan membayar hutang sebanyak RM9 juta kepada 24 pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia (Liga M) minggu depan.
Perkara itu diumumkan oleh Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pertama Penggal 2017-2021 sebentar tadi.
Menurut Tunku Ismail, meskipun FAM berdepan masalah kewangan, namun badan induk itu perlu membayar hutang kepada pasukan terbabit khususnya yang mempunyai tunggakan gaji pemain.
"Daripada jumlah RM9 juta itu, RM500,000 akan diberikan kepada pasukan Liga Super dan RM250,000 kepada pasukan Liga Perdana.
"Kami tak mahu pasukan yang melakukan kesalahan menjadikan alasan tidak mendapat bayaran daripada FAM. Mereka boleh membayar hutang (gaji pemain) selepas ini tapi jika dalam tempoh tertentu mereka gagal, baru kami akan ambil tindakan," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat itu.
Dalam laporan Arena Metro sebelum ini, Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) mengesahkan lima pasukan, dua dari Liga Super dan tiga Liga Perdana masih gagal melunaskan tunggakan gaji pemain dan bakal berdepan tindakan pemotongan mata.
Sementara itu, Tunku Ismail turut mengesahkan sudah mempunyai beberapa nama calon baru jurulatih luar negara untuk mengisi jawatan jurulatih Harimau Malaya selepas perbincangan kontrak dengan bekas jurulatih Johor Darul Ta'zim (Johor DT)Mario Gomez gagal mencapai kata putus.
Beliaubagaimanapun enggan mendedahkan nama calon berkenaan tapi memberi jaminan bahawa pelantikan jurulatih kebangsaan untuk menggantikan Datuk Ong Kim Swee bakal diumumkan dalam beberapa minggu lagi.